Selasa, April 10, 2012
Ancaman Fahaman Hak Asasi Manusia
Ancaman Fahaman Hak Asasi Manusia
Abu Numair Nawawi B. Subandi
Telah berlalu sebelum ini artikel penulis yang menyentuh secara khusus hukum demonstrasi jalanan, yang membawa hukum haram dan merupakan sebahagian dari bentuk-bentuk akar ideologi fahaman hak-hak asasi manusia. Biarpun yang hendak dibela adalah perkara baik dan yang dicegah adalah hal-hal mungkar sekalipun, maka ia tetap haram.
Kerana Islam bukanlah agama yang membenarkan kemungkaran ditangani dengan cara yang mungkar juga. Islam adalah agama yang sejahtera, damai, dan cintakan keamanan. Islam bukan agama anarki, protes, dan mainan orang-orang jalanan tak ketahuan hala.
Islam tidak mengajar tunjuk perasaan, sebaliknya Islam mengajar supaya mengawal perasaan dan meletakkan pada tempatnya. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan) dirinya ketika marah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6114)
Dalam Islam tidak ada hak kebebasan bersuara secara mutlak. Sebaliknya Islam mengajar, mendidik, dan membimbing bagaimana seharusnya bersuara dan bertindak secara benar. Sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, dalam keadaan marah ataupun tenang.
Tetapi inilah yang gagal difahami sebahagian masyarakat Islam. Mereka terpengaruh dengan ideologi demokrasi atau slogan hak asasi manusia. Lalu mereka menganggap semua urusan adalah milik mereka dan mereka boleh bersuara serta bertindak sesuka hati mereka pada apa jua keadaan tanpa menghiraukan hak-hak dan batas-batas yang telah Allah tentukan.
Pantang ada isu, mereka akan bersuara dan mengolah sekehendaknya walaupun dengan keadaan diri yang jahil. Dalam al-Qur’an Allah mengingatkan hal ini yang maksudnya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)
Dalam Islam, Allah Ta’ala memiliki hak terhadap para hamba-Nya iaitu hak untuk diibadahi. Allah menyusun dan membahagikan hak-hak manusia berdasarkan fitrah keadaan mereka masing-masing dalam rangka kebaikan. Sebagai contoh, ibu dan bapa memiliki hak dari anak-anak agar dilayan dengan baik dan makruf. Suami dan isteri masing-masing memiliki hak untuk berkasih-sayang dan memberi serta menerima nafkah. Orang yang miskin berhak terhadap zakat golongan berharta. Manakala anak-anak berhak mendapat jagaan dan kasih sayang daripada ibu dan bapa di rumah.
Islam tidak memukul ratakan hak-hak dan beban tugas mereka sampai orang kaya dan miskin wajib sama-sama berzakat, isteri boleh keluar bekerja manakala menyusukan anak di rumah diambil alih si suami. Islam tidak begitu, sebaliknya Islam membahagi hak tugas mereka secara adil dengan meletakkan tepat pada fitrahnya.
Islam membimbing manusia agar menunaikan hak sesama manusia dengan cara yang benar. Sebagai contoh wanita yang juga seorang isteri berhak mendapat nafkah dan tinggal di rumah menjaga harta suami bersesuaian dengan fitrah kejadiannya sebagai seorang wanita. Manakala anak-anak pula berhak mendapat jagaan dan pengawasan ibunya. Tugas kaum suami pula ditempatkan di luar untuk bekerja dan mencari nafkah.
Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Seseorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seseorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suami dan anak-anaknya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5200)
Tapi apabila datangnya slogan-slogan hak asasi manusia pada hari ini, mereka luluh-lantakkan susun atur fitrah yang Islam tetapkan ini. Mereka ajak kaum wanita supaya bersaing dengan kaum lelaki di luar. Baik dalam berpakaian, pekerjaan, mahupun kepolitikan! Lalu bagaimana institusi kekeluargaan dan tugas-tugas asal wanita di rumah?
Lebih menggerunkan, hari ini muncul pula perjuangan hak lesbian, gay, pondan, biseksual, dan transgender yang juga diperjuangkan atas slogan hak asasi manusia?!
Ini semua adalah contoh-contoh pengganggu gugat fitrah hidup normal. Bertentangan dengan apa yang telah Allah tetapkan di mana manusia dibahagikan kepada lelaki dan wanita bersesuaian dengan fitrah dan tanggungjawab mereka di muka bumi ini. Asal dalam Islam, setiap mereka baik lelaki mahupun wanita, mereka mendapat ganjaran bersesuaian dengan fitrah, posisi, dan amal-amal mereka.
Allah Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang beramal dengan amal yang soleh, sama ada lelaki ataupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepada mereka kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah usahakan.” (Surah an-Nahl, 16: 97)
Tapi sayang, mereka tidak bersyukur lalu menggantikan fitrah yang sejahtera dengan kebinasaan.
Politik Hak Asasi Manusia
Demikian jugalah yang terdapat dalam perjuangan politik mereka. Agenda perjuangan mereka antaranya boleh dilihat dalam pasal-pasal Deklarasi Hak Asasi Manusia (HAM) diumumkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 10 Disember 1948 resolusi 217 A (III).
Antaranya dalam pasal 19; kata mereka, “Setiap orang berhak atas kebebasan mempunyai dan mengeluarkan pendapat; dalam hal ini termasuk kebebasan menganut pendapat tanpa mendapat gangguan, dan untuk mencari, menerima dan menyampaikan keterangan-keterangan dan pendapat dengan cara apa pun dan dengan tidak memandang batas-batas.”
Sebab itu tidak hairan muncul begitu banyak siri-siri demonstrasi jalanan di serata dunia hari ini. Hampir semua bertunjangkan slogan-slogan kebebasan dan hak asasi manusia. Seolah-olah dunia ini tiada lagi batas undang-undang yang perlu dipatuhi.
Manakala dalam Islam untuk mengetengahkan sesuatu pendapat ia perlulah dengan adab, saluran yang betul, dan dengan ilmu. Tidak setiap orang bebas mengetengahkan pendapat melainkan yang memiliki keahlian dan ilmu dalam perkara berkaitan yang hendak diketengahkan. Islam menyusun bagaimana kita wajib beradab terhadap Allah, mentaati Nabi, sehinggalah adab terhadap pemerintah pun diajar dalam Islam.
Masih lagi dalam politik bawaan HAM, dalam pasal 21; mereka menegaskan: “Kehendak rakyat perlu menjadi dasar kekuasaan pemerintah...”
Hakikat ini amat bertentangan dengan aqidah Islam. Tetapi deklarasi inilah yang banyak diperjuangkan oleh sebahagian umat Islam tanpa sedar. Mereka menghiasi perjuangan ini dengan slogan-slogan kebebasan, keamanan, membasmi penindasan, dan perjuangan menuntut hak rakyat.
Dalam Islam, sekiranya berpolitik ia adalah semata-mata dalam rangka mentaati Allah, dan urusan ini tidak diberikan bebas kepada sesiapa saja melainkan yang memiliki hak, keupayaan, dan kefaqihan. Pentadbiran sesebuah negara dalam Islam bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat dengan tidak menyelisihi hak-hak Allah Ta’ala.
Hakikat ini amat berbeza dengan fahaman hak asasi manusia melalui deklarasi yang mereka umumkan. Politik mereka adalah politik bertuhankan suara-suara manusia. Perjuangan mereka adalah perjuangan berhukum dengan hukum rakyat.
Sekiranya rakyat jahat, maka hukum kejahatanlah yang tertegak. Bahkan di antara slogan mereka yang terkenal adalah seperti “Dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat!” Dari kacamata Islam, ini jelas menodai kemurnian tauhid apabila setiap hukum menjadi milik manusia dan tidak lagi mempedulikan dalil-dalil wahyu!
Kata Allah Ta’ala dalam firman-Nya, “Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka benar-benar dia telah sesat dengan sesat yang jelas.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 36)
Lebih jauh dari isu politik, perjuangan hak asasi manusia juga turut memperjuangkan pasal yang mengatakan, “Setiap orang berhak atas kebebasan fikiran, hati nurani dan agama; dalam hal ini termasuk kebebasan bertukar agama atau kepercayaan, dengan kebebasan untuk menyatakan agama atau kepercayaan dengan cara mengajarkannya, melakukannya, beribadat dan mentaatinya, sama ada sendiri ataupun bersama-sama dengan orang lain, di muka umum ataupun sendiri.” (Pasal 18, Deklarasi HAM)
Pendek kata, apabila ini berjaya mereka ketengahkan dan akta-kan, nescaya rosaklah tunjang-tunjang Islam yang sedia ada dalam negara kita pada hari ini. Bahkan manusia bebas berbuat apa sahaja termasuk hendak murtad atau menolak Tuhan. Hendak bertukar-tukar menjadi lelaki mahupun wanita. Hendak berzina ataupun meliwat!
Wallahu a’lam.
Rabu, April 04, 2012
Bahagia Itu Di Mana?
Bahagia Itu Di Mana?
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Kebahagiaan adalah Syurga yang sentiasa diimpi-impikan oleh setiap insan. Tetapi sayang amat sedikit yang mampu menggapai dan merasai nikmat kebahagian ini.
Kebahagiaan adalah anugerah dari yang Maha Penyayang yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada manusia yang mampu menikmatinya dan ada pula yang hanya mampu mengimpikannya.
Orang-orang yang berjaya menggapai kebahagiaan adalah orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala untuk menggapainya. Mereka rasa gembira dan sukacita dengan pemberian Allah Ta’ala. Mereka beramal dengan amal-amal kebaikan dan redha terhadap setiap ketentuan-Nya.
Di Mana Kebahagiaan?
Sebahagian orang menganggap kebahagiaan digapai dengan banyaknya harta dan kekayaan. Ada pula yang menganggap kebahagiaan diraih dengan pangkat, pujian, dan kedudukan, ditambah dengan paras rupa yang cantik rupawan. Bahkan ada juga yang menganggap kebahagiaan itu bersama-sama dengan hal-hal yang telah diharamkan Allah Ta’ala.
Atas kelalaian dan ketidak-sedaran, hal-hal seperti ini selalu dianggap sebagai kebahagiaan dan kemuliaan.
Umumnya memang setiap manusia sentiasa sedaya-upaya mengejar kebahagiaan. Ada yang berjaya menggapainya, tetapi tidak kurang yang tertunda, dan ada pula yang gagal.
Ada orang sampai berkeluh-kesah dan murung kerana mengkhayalkan kebahagiaan. Sedangkan dia sama sekali belum mengerti apa itu kebahagian yang sebenarnya. Lalu dia pun mengkhayalkan sesuatu yang fana sebagai kebahagiaan. Sehingga akhirnya dia lebih membayangkan indahnya dunia di sudut hatinya mengatasi akhiratnya. Dia tidak sedar nikmat-nikmat dunia yang dikejarnya siang dan malam itu bakal lenyap dan bakal mengundang kecemasan, kebimbangan, dan sesal yang dalam.
Tidak sedikit orang-orang yang lalai dari mengenal hakikat kebahagiaan, melainkan orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengenal sekaligus mengecapinya. Kebahagiaan di sisi Islam hanya dapat digapai apabila hati tertanam benih-benih taqwa. Itulah kebahagiaan dan kemuliaan yang sebenar.
Iaitu dengan mengenal agama ini, mentaati Allah, mengikuti petunjuk Rasul-Nya, serta menjauhi segala hal-hal yang dilarang dan tercela. Melalui agama yang benar inilah manusia tahu dari mana dia datang, untuk apa dia datang, dan ke mana dia akan menuju. Apabila ia sedar hakikat ini semua, maka akan jelaslah arah dan usahanya. Apabila jelas posisi duduk tempat dan usahanya, hati pun menjadi tenteram.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56).
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagi kamu amal-amal kamu dan mengampuni bagi kamu dosa-dosa kamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 70-71)
Dalam ayat-Nya yang lain, “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” (Surah al-Hujuraat, 49: 13)
“Bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah al-Baqarah, 2: 189)
Dari sini kita akan mengerti kehidupan tanpa ketaqwaan tidak akan mendatangkan bahagia meskipun dihiasi dengan gemerlapan dunia serta dikelilingi dengan kemewahan dan limpahan harta. Bahkan tanpa ketaqwaan, kemewahan dunia tersebut bakal mengundang sibuk, lelah, cemas, dan derita. Sedikit sekali yang meyakini ketaqwaan itulah hakikat kebahagiaan. Ketaqwaan itulah sebaik-baik bekal untuk disimpan. Ketaqwaan itulah yang menjemput ketenangan dan kedamaian.
Hakikat orang taqwa adalah orang yang hanya takutkan Allah dan mengagungkan-Nya. Pengabdian dirinya hanya untuk Allah sehingga dia hanya beribadah dan taat kepada Allah. Cinta dan benci di dalam hatinya adalah demi meraih keredhaan Allah. Hati dan jiwanya pasrah dengan segala bentuk ketentuan yang telah ditentukan. Kepada Allahlah tempat dia memohon dan bergantung harap. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika dirundung musibah dia bersabar dan tidak putus-asa. Hatinya amat takut terhadap apa yang dilarang dan dibenci Allah Ta’ala.
Sikap orang bertaqwa sentiasa berlapang dada, dalam susah mahupun lapang pahala Allah tetap menjadi harapannya. Apabila diuji, ia yakin dengan ujian tersebut Allah akan menyucikan dirinya dan mengangkat darjatnya.
Jiwa dan hati orang bertaqwa sentiasa tenang kerana pengabdiannya adalah kepada Allah semata-mata. Iaitu Rabb yang memiliki sifat Maha Kaya, Maha Pengasih, dan Maha Mengawasi.
Sehingga apabila ia bergaul sesama manusia pun dia bergaul dengan sebab mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
وَالسَّعَادَةُ فِي مُعَامَلَةِ الْخَلْقِ: أَنْ تُعَامِلَهُمْ لِلَّهِ فَتَرْجُوَ اللَّهَ فِيهِمْ وَلاَ تَرْجُوَهُمْ فِي اللَّهِ وَتَخَافَهُ فِيهِمْ وَلاَ تَخَافَهُمْ فِي اللَّهِ، وَتُحْسِنَ إلَيْهِمْ رَجَاءَ ثَوَابِ اللَّهِ لاَ لِمُكَافَأَتِهِمْ وَتَكُفَّ عَنْ ظُلْمِهِمْ خَوْفًا مِنْ اللَّهِ لاَ مِنْهُمْ
“Kebahagiaan dalam perhubungan sesama makhluk adalah perhubungan dengan mereka kerana Allah dan sentiasa mengharapkan redha-Nya. Bukan mencari redha mereka dalam perhubungan tersebut lalu diniatkan untuk mencari redha Allah.
Kalian takutkan Allah dalam perhubungan kalian dengan mereka, bukannya takut kepada mereka dalam perhubungan kalian dengan Allah.
Kalian berbuat baik kepada mereka kerana mengharap balasan Allah, bukan balasan mereka. Kalian mencegah kesalahan mereka kerana takut kepada Allah, bukan kerana takutkan mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 1/51)
Tanda Kebahagiaan
Kata al-hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):
إذا أنعم عليه شكر، وإذا ابتلي صبر، وإذا أذنب استغفر. فإن هذه الأمور الثلاثة عنوان سعادة العبد، وعلامة فلاحه في دنياه وأخراه، ولا ينفك عبد عنها أبداً.
“Apabila diberi nikmat dia bersyukur, apabila diuji dia sabar, dan apabila berdosa dia beristighfar (bertaubat). Tiga perkara ini merupakan tanda-tanda kebahagiaan seseorang hamba serta tanda kejayaan di dunia dan akhirat. Dan hamba tersebut tidak berpisah darinya buat selamanya.” (al-Waabil ash-Shayyib, m/s. 5)
Kemudian, sesiapa yang mampu merasa manisnya iman, nescaya ia akan merasa nikmatnya kebahagiaan, lapangnya hidup, tenteramnya hati, dan tenangnya tubuh badan. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, ia akan merasa manisnya iman. Iaitu Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling dicintainya dari selain keduanya, mencintai seseorang kerana Allah semata-mata, dan benci jika dikembalikan kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 16)
Apabila keimanan dan ketaqwaan berada di dalam hati, nescaya hidup akan merasa bahagia. Biarpun ujian dan gelora datang melanda, hatinya tetap teguh bersimpuh harap hanya kepada Allah Ta’ala. Sehingga setiap apa jua ketentuan dan qadar yang dihadapkan Allah kepadanya, susah mahupun senang, dia akan menyikapinya dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.
Inilah kesan dari iman yang tertancap kukuh dalam hati. Kesenangan bukan medan untuk dia berbuat sesuka hatinya, manakala kesusahan pula bukan masa untuk berputus-asa dan berlepas diri dari rahmat Tuhannya.
Menjauhi Derita Sengsara
Orang yang tunduk dengan hawa nafsu dengan selalu bermaksiat, berbuat dosa, serta mancari kesenangan dunia secara haram, hatinya tidak akan pernah tenang dan tenteram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا
“Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dirinya kehidupan yang sempit...” (Surah Thaha, 20: 124)
Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:
وَأَنَّ كُلَّ شَرٍّ فِي الْعَالَمِ مُخْتَصٌّ بِالْعَبْدِ فَسَبَبُهُ مُخَالَفَةُ الرَّسُولِ أَوْ الْجَهْلُ بِمَا جَاءَ بِهِ وَأَنَّ سَعَادَةَ الْعِبَادِ فِي مَعَاشِهِمْ وَمُعَادِهِمْ بِاتِّبَاعِ الرِّسَالَةِ
“Setiap kejahatan di alam ini ada kaitannya dengan para hamba. Penyebabnya adalah kerana menyelisihi Rasul atau jahil dengan apa yang dibawanya. Dan kebahagiaan seseorang hamba dalam kehidupannya di dunia dan akhiratnya adalah dengan mengikuti risalah yang dibawa Rasul.” (Majmu’ al-Fatawa, 19/93)
Untuk keluar dari derita kesengsaraan dan menuju kebahagiaan, bersegeralah menuju jalan taubat dan inabah kepada Allah. Sebagaimana kata Ibnul Qayyim, “Pintu kejahatan itu dapat ditutup dengan bertaubat dan beristighfar.” (Zaadul Ma’ad, 4/202)
Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membuka ruang yang luas untuk setiap kita bertaubat menuju kebahagiaan abadi. Dalam ayat-Nya Allah menyatakan:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
“Bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 133)
Jadi, ketuklah pintu-pintu taubat dan tutuplah pintu-pintu maksiat. Supaya Allah menghadirkan rasa manisnya iman. Iman akan membuahkan taqwa, dan taqwa pula mendatangkan bahagia dunia sampai akhirat. Kesejahteraan hati dicapai dengan meninggalkan dosa, manakala dosa bagi hati umpama racun. Jika tidak merosakkan, nescaya akan melemahkan hati.
Sesiapa yang berhijrah dari hinanya maksiat menuju mulianya ketaatan, nescaya Allah akan menjadikannya kaya walau tidak berharta. Hatinya girang walau tak punya kawan. Manakala orang yang berpaling dari ketaatan kepada Tuannya dan menerobos batas yang diharamkan Allah, nescaya dia akan merasai wilayah sengsara.
Khamis, Mac 29, 2012
Agar Doa Mustajab Lagi Berpahala
Agar Doa Mustajab Lagi Berpahala
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Doa dan zikir sebagaimana solat, puasa, zakat, dan haji, ia termasuk bentuk-bentuk ibadah yang memiliki adab dan tatacara ditetapkan sebagai tanda ketaatan dan ketundukan kepada Allah. Sesiapa yang melaksanakan sebagaimana dikehendaki sama ada diperkenankan atau pun ditunda, ia akan mendapat pahala dan ganjaran dari Allah.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Doa adalah ibadah. Tuhan kalian berfirman, berdoalah kepadaku, nescaya akan aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahi-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3247. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Di antara adab-adab penting dalam berdoa adalah dengan mengikhlaskan hati, penuh harapan, tidak tergesa-gesa, merendah diri, dengan suara yang lembut, dan tidak melampaui batas.
Kata Allah Ta’ala dalam firmannya:
فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Maka berdoalah kepada Allah dengan memurnikan ibadah kepada-Nya walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.” (Surah al-Mukmin, 40: 14)
Di antara syarat doa adalah dengan hati yang ikhlas semata-mata memohon hanya kepada Allah, tidak boleh syirik dengan berdoa meminta kepada selain Allah. Sebagaimana contoh dilakukan oleh kaum Syi’ah yang berdoa kepada ‘Ali, Hasan, Husain, dan Fathimah. Tidak boleh juga sebagaimana sebahagian kaum sufi yang berdoa menyeru kepada ‘Abdul Qadir Jailani, tok-tok wali, tok-tok guru, kubur orang-orang soleh, dan seumpamanya.
Dalam berdoa, kita tidak boleh lalai dan sambil lewa. Sebaliknya kita perlu berdoa dengan penuh kesungguhan lagi penuh harapan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian yakin ia diperkenankan. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala tidak akan menerima doa dari hati yang lalai lagi sambil lewa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 3479. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Oleh sebab itulah doa orang-orang yang dalam kesusahan, teraniaya, dan dihimpit musibah biasanya lebih berpeluang diterima doa-doa mereka. Kerana pada masa tersebut doanya lebih khusyuk dan harapannya menggunung tinggi.
Rendah Diri Ketika Berdoa
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut, sesunggunya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raaf, 7: 55)
Termasuk adab utama dalam berdoa adalah dengan tidak menyombongkan diri kepada Allah, sebaliknya hendaklah rendah diri, tenang, sabar, dan merasa kerdil di hadapan Allah. Di samping merendahkan diri dalam berdoa, Allah dan Nabi-Nya turut memerintahkan supaya berdoa dengan suara yang perlahan dan lembut, iaitu seperti suara orang sedang berbisik-bisik.
Al-Hafiz Ibnu Katsir menukilkan perkataan sahabat, al-Hasan radhiyallahu ‘anhu:
ولقد كان المسلمون يجتهدون في الدعاء، وما يُسمع لهم صوت، إن كان إلا همسا بينهم وبين ربهم، وذلك أن الله تعالى يقول: ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً
“Kaum muslimin dahulu sangat bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi suara mereka tidak kedengaran melainkan hanya bisik-bisik antara mereka dengan Tuhan mereka. Itu adalah kerana Allah telah berfirman, “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/428)
Sebagai motivasi dan iktibar dari tafsir ayat ini, dalam awal Surah Maryam Allah menceritakan kisah Nabi Zakariya yang tidak pernah putus asa dan tidak pernah kecewa dalam berdoa meminta agar dikurniakan zuriat walaupun dirinya telah tua beruban, dan isterinya pula mandul. Beliau tetap kental yakin dengan berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan suara yang lembut. Sehingga akhirnya Allah beri khabar gembira untuknya dengan kurniaan zuriat bernama Yahya.
Faedah yang dapat diangkat dari kisah Nabi Zakariya ini adalah doa dengan penuh harap, tidak putus asa, dan dengan suara yang lembut. Iaitu merupakan sebahagian daripada kunci-kunci penting untuk mendapat doa mustajab. Oleh itu, kisah tersebut sepatutnya mampu memotivasikan kita agar sentiasa berdoa, terus berdoa dan berdoa lagi tanpa putus asa.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:
لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ؟ قَالَ: يَقُولُ: قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ، فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي، فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ
“Doa seorang hamba akan diperkenankan selagi mana ia tidak berdoa untuk perkara dosa atau untuk memutuskan silaturahim, dan selagi mana dia tidak tergesa-gesa (isti’jal).”
Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-Isti’jal?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Iaitu apabila ia mengatakan, “Aku telah berdoa dan berdoa tetapi tidak juga diperkenankan.” Maka ia pun kecewa dan meninggalkan doa.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2735)
Adapun doa dengan suara perlahan dengan cara bisik-bisik ini adalah kaedah dan adab yang bersifat umum untuk setiap doa dan zikir. Terkecuali bagi doa-doa yang dikhususkan padanya dengan suara kuat dan lantang. Seperti Doa qunut witir, qunut nazilah, doa istisqa’ (solat memohon hujan), doa dalam khutbah Juma’at dan hari raya, atau yang seumpamanya yang padanya terdapat dalil-dalil bersifat khusus.
Keumuman doa dengan suara perlahan ini dijelaskan dengan banyak dalil, termasuk dalil-dalil hadis dan atsar para salaf. Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis ketika mana para sahabat yang sedang dalam perjalanan bersama-sama Rasulullah, mereka masing-masing bertakbir, berdoa, dan berzikir dengan suara yang kuat. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda sebagai teguran:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا، إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ، تَبَارَكَ اسْمُهُ وَتَعَالَى جَدُّهُ
“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak berdoa kepada yang pekak dan yang jauh, sesungguhnya Dia bersama kamu, Maha Mendengar lagi sangat dekat. Maha suci Nama-Nya dan maha Tinggi Kebesarannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2992)
Dalam sebuah atsar riwayat Imam ‘Abdurrazzaq pula disebutkan:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَكْرَهُونَ رَفْعَ الصَّوْتِ عِنْدَ ثَلاَثٍ: عِنْدَ الْقِتَالِ، وَعِنْدَ الْجَنَائِزِ، وَعِنْدَ الذِّكْرِ
“Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mereka membenci mengangkat suara pada tiga keadaan. Iaitu ketika berperang, ketika di sisi jenazah, dan ketika berzikir.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 34104)
Inilah sebahagian adab-adab berdoa yang banyak diabaikan oleh masyarakat Islam pada hari ini di pelbagai tempat dan situasi. Mereka memandang enteng adab-adab ini sampai ada yang seronok berdoa dengan suara-suara yang lantang dibantu alat-alat pembesar suara.
Jangan Melampau Dalam Berdoa
Dalam ayat 55 surah al-A’raaf tadi, Allah turut mengingatkan agar tidak melampau dalam berdoa. Seperti disebutkan dalam kitab-kitab tafsir, maksud melampau di situ adalah dengan memohon sesuatu di luar batas munasabah dan perkara terlarang. Seperti memohon kedudukan para Nabi, memohon hidup kekal abadi, memohon agar hidup tanpa makan dan minum, memohon untuk menjadi perompak handalan dan seumpamanya.
Termasuk dalam maksud melampaui batas dalam berdoa adalah dengan mengeraskan suara ketika berdoa sehingga didengari orang. Termasuk contoh ini adalah berdoa dengan menjerit, dengan nyanyian, dan dengan melagukan doa mengikuti lenggok-lenggok muzik tertentu. Ini turut berlaku dalam siri-siri doa dan zikir-zikir berjama’ah sebaik selesai solat dalam kalangan masyarakat hari ini.
Sedangkan apa yang benar, berdoa dan berzikir sebaik selesai solat fardhu itu adalah dengan cara sendiri-sendiri dan perlahan-lahan, cukup diri sendiri yang mendengarnya. Bukan dengan cara berjama’ah beramai-ramai, senada dan seirama. Hal ini ditegaskan antaranya oleh ramai ulama terkemuka termasuk imam asy-Syafi’i rahimahullah dan para pembesar mazhabnya. Tetapi entah kenapa ramai kalangan pengamal mazhab asy-Syafi’i di negara kita hari ini boleh menyimpang dari batas-batas ini.
Di antara contoh lain yang banyak berlaku hari ini adalah amalan menyusun bait-bait lirik, qasidah, dan sya’ir-sya’ir tertentu dalam bentuk doa lalu dijadikan sebagai nyanyian, hiburan, nasyid, persembahan konsert, dan mencari populariti serta imbuhan. Ini adalah perbuatan yang bersalahan dengan sunnah dan menyimpang dari ruh asal doa. Malah ada yang menyangka dengan perbuatan seperti ini dapat menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Allah.
Hakikatnya, Allah tidak pernah meminta jika seseorang mahu berdoa atau berzikir, hendaklah ia melakukannya dengan cara melagukannya sambil diringi irama-irama muzik tertentu. Bahkan sebaliknya Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya benci cara yang seperti itu. Para ulama juga turut melarang amalan doa seperti ini sebagaimana ditegaskan para imam mazhab yang empat dan pembesar-pembesar mazhab mereka.
Mereka memanggil golongan yang memperlakukan amalan-amalan doa dan zikir seperti itu sebagai kaum zindiq lagi tidak berakal. Sejarah berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan beramai-ramai asalnya dipelopori oleh golongan khawarij di pertengahan zaman para sahabat. Kemudian dikembangkan lagi oleh kaum sufi tasawuf dengan iringan gendang dan muzik, bahkan sampai ada yang menari-nari ketika berdoa dan berzikir. Maha suci Allah dari apa yang mereka sifatkan...
Akhir kata, panjatkanlah doa-doa kepada Allah dan berzikirlah dengan zikir-zikir yang mulia di atas petunjuk wahyu sebagaimana amalan kaum salaf, iaitu para sahabat dan tabi’in. Hanya dengan kaedah yang benar, amalan doa dan zikir akan membuahkan barakah lagi tidak sia-sia walau ditunda pengkabulannya. Bahkan ia menjadi tanda sempurnanya pengabdian dan penghubung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang sombong.
Wallahu a’lam.
Isnin, Mac 12, 2012
Menggapai Kekayaan Dengan Hati Yang Senang
Menggapai Kekayaan Dengan Hati Yang Senang
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com
Tentu masing-masing punya keinginan untuk menjadi kaya dan hidup serba mencukupi. Siapa tidak mahu kaya bukan? Ramai beranggapan sekiranya hidup mewah harta melimpah-ruah, sudah tentu hati akan senang kerana apa diingini akan tercapai. Itulah kebanyakan andaian yang digembar-gemburkan.
Hakikatnya, tidak sedikit orang yang hartanya banyak, gajinya lumayan, rumahnya besar, kerjayanya gah, keretanya tak cukup satu, tapi waktunya tiada yang lapang. Dia tak punya masa untuk berehat dan menjalankan tanggungjawab agamanya.
Dia terpaksa bekerja dan terus bekerja agar hartanya terjaga dan terus bertambah. Sampai satu waktu apabila hartanya sudah bertambah dan menimbun, dia lelah memikirkan bagaimana harus menjaganya agar tidak diusik orang. Namun hatinya masih tidak juga puas dan angan-angannya tidak pernah habis.
Orang seperti ini hatinya akan sengsara. Dia bekerja siang dan malam mengumpul harta yang tidak tahu entah berapa banyak lagi akan mampu memuaskannya. Sudah ada rumah besar, dia mahu tambah besar lagi. Sudah ada kereta mewah, dia mahu kereta lain yang lebih mewah lagi. Hatinya sering merasa kekurangan dan jiwanya selalu membentak.
Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:
لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ
“Kalau seandainya anak Adam diberi sebukit emas, nescaya dia akan mengharapkan lebih banyak bukit-bukit emas lainnya. Dan tidaklah yang memenuhi mulutnya melainkan tanah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6439)
Dengan keadaan seperti ini, tidak tepat jika kita katakan kekayaan itu adalah dengan melimpahnya harta bersama segala macam kemewahan. Sebaliknya amat tepatlah apa yang diungkap oleh junjungan mulia kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sabdanya:
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
“Bukanlah kekayaan itu diukur dengan limpahan kemewahan dunia. Tetapi kekayaan itu adalah kayanya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 8/95, no. 6446. Muslim, 2/726, no. 1051)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada sahabatnya, Abu Dzar:
يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى؟ قُلْت: نَعَمْ. قَالَ: وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر؟ قُلْت: نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه. قَالَ: إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب، وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب
“Wahai Abu Dzar, adakah engkau menganggap bahawa banyaknya harta itu yang disebut sebagai kaya (mewah)?” Jawab Abu Dzar, “Benar.”
Rasulullah bertanya lagi, “Adakah engkau menganggap bahawa sedikitnya harta itu bermakna faqir (miskin)?” Jawab Abu Dzar, “Benar ya Rasulullah.”
Rasulullah pun bersabda, “Sesungguhnya apa yang dinamakan kaya adalah kayanya hati. Dan faqir adalah faqirnya hati (yang tidak pernah merasa cukup).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 685. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Dalam hadis yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ
“Redhalah dengan apa yang Allah berikan padamu nescaya engkau menjadi orang yang paling kaya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2305. Dinilai hasan oleh al-Albani)
Sebenarnya kekayaan tidak akan dirasa dengan limpahan harta. Sebaliknya kekayaan akan terkecapi apabila hati sentiasa merasa cukup, puas, syukur, lapang, tenang, dan senang terhadap segala kurniaan Allah. Lalu dengan harta itu menjadikan dirinya mampu melaksanakan agamanya. Seorang mukmin yang kaya adalah yang sentiasa merasa cukup dengan harta yang dimilikinya lalu dia menggunakan harta tersebut untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhannya.
Apabila memiliki kenderaan, dengan kenderaan tersebut dia menuju masjid di setiap waktunya. Apabila dikurniakan harta, dia menjaganya, menghargainya, memanfaatkannya, melaksanakan kewajibannya, dan membelanjakannya dengan jalan yang halal. Apabila dia memiliki makanan dia memakannya sebagai bekal tenaga untuk beramal dan menjalankan kewajibannya.
Apabila memiliki wang dia belanjakan wang tersebut untuk keperluan dirinya, keluarganya, dan agamanya. Dia tidak keterlaluan dengannya dan tidak pula membazir dengan apa yang tidak diperlukannya. Dia bijak membahagikan harta antara keperluannya, amalnya, menuntut ilmu, dan melaksanakan agamanya. Jika diberi kelebihan dia mampu bersedekah, berzakat, dan membantu golongan memerlukan.
Sebagaimana kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرَةٌ حُلْوَةٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِحَقِّهِ، وَوَضَعَهُ فِي حَقِّهِ، فَنِعْمَ الْمَعُونَةُ هُوَ، وَمَنْ أَخَذَهُ بِغَيْرِ حَقِّهِ، كَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلَا يَشْبَعُ
“Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6427. Muslim, no. 1052)
Kalau dikenangkan baik-baik, betapa ramai manusia di luar sana yang kaya-raya, hartanya melimpah ruah, tetapi tidak mampu membeli masa untuk agama dan keluarganya. Ada pula yang semakin banyak harta yang dimiliki semakin banyak pula dia berseronok dan membeli yang haram. Akhirnya kerana harta yang melimpah dia pun meremehkannya lalu berbuat perkara sia-sia.
Para ulama mengungkap keadaan manusia seperti ini sebagai orang yang faqir lagi miskin hatinya.
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi mengatakan, “Orang yang disifatkan dengan kaya hati adalah orang yang selalu qona’ah (merasa serba cukup dan redha) dengan rezeki yang dikurniakan Allah. Dia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Dia tidak memaksa-maksa dalam mencarinya dan tidak pula meminta-minta untuk mendapatkannya. Sebaliknya dia selalu bersikap redha dengan kurniaan Allah yang Maha Adil padanya. Oleh sebab itu dia pun seakan-akan orang yang berada.
Sedangkan orang yang miskin hatinya adalah apa yang berlawanan dengan sifat orang pertama tadi. Orang seperti ini tidak pernah merasa qona’ah terhadap apa yang diberi. Sebaliknya dia terus bekerja keras demi menambah hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun dengan cara yang haram). Jika dia tidak mendapat apa yang dikejar, dia merasa cukup sedih dan sesal. Seakan-akan dialah orang yang sangat faqir kerana dia tidak pernah merasa puas dengan apa dimilikinya. Inilah sebenarnya orang yang tidak pernah kaya.
Asasnya, kekayaan hati lahir dari sikap yang sentiasa redha dan menerima setiap ketentuan Allah Ta’ala. Dia tahu bahawa setiap apa yang Allah kurniakan itulah yang terbaik dan lebih kekal. Sikap inilah yang mendidiknya agar tidak tamak.” (Fathul Bari, 11/272)
Jadi, hakikat kaya yang sejati bukanlah diukur dengan banyaknya harta, kerana ramai orang yang memiliki harta yang melimpah tetapi dia tidak merasa puas dan tenang dengan apa yang dikurniakan padanya. Sebaliknya dia berterusan berkerja keras menambah-banyakkan harta siang dan malam. Hatinya sentiasa gusar dan fikirannya penuh angan-angan. Akibat sikap yang rakus, dia menjadi seakan-akan orang yang faqir. Walhal dia bukanlah orang yang tidak berharta.
Oleh itu, hakikat kekayaan yang sebenarnya adalah yang kaya hatinya, iaitu orang yang sentiasa merasa cukup dengan menerima setiap apa yang dikurniakan padanya dengan hasil usaha yang berpada. Dia tidak rakus dan memaksa-maksa dirinya. Sehingga segala kudrat dan waktu dihabiskan mencari harta.
Tidak Tercela Menjadi Kaya
Dari apa yang penulis ungkapkan di sini bukanlah bermaksud tidak boleh menjadi kaya dengan harta. Tetapi sebagai peringatan agar harta dicari dengan kadar yang bersesuaian di antara keperluan dan kewajiban. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لاَ بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنِ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنِ اتَّقَى خَيْرٌ مِنَ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنَ النِّعَمِ
“Tidak mengapa dengan kekayaan bagi orang yang bertaqwa. Dan kesihatan bagi orang-orang yang bertaqwa itu lebih baik dari kekayaan. Manakala kebahagiaan hati itu sebahagian dari nikmat.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 23228. al-Bukhari, al-Adabul Mufrad, no. 301. Ibnu Majah, no. 2132. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Juga dalam hadisnya yang lain:
نِعْمًا بِالْمَالِ الصَّالِحُ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ
“Sebaik-baik harta yang baik adalah milik orang yang soleh.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17763. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)
Oleh itu, menjadi kaya bukanlah sikap yang tercela. Tetapi yang tercela adalah bila mana kita tidak pernah merasa cukup, syukur, dan puas dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Iaitu orang yang tidak ada kekayaan di hatinya. Sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengatakan orang yang memiliki sifat qona’ah iaitu orang-orang yang sentiasa merasa kecukupan, syukur, dan redha mereka termasuk golongan yang sangat beruntung.
Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ
“Sungguh beruntunglah sesiapa yang masuk Islam lalu dia diberikan rezeki yang mencukupi dan Allah menjadikannya bersifat qona’ah dengan pemberian tersebut.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 6572. Muslim, no. 1054)
‘Abdullah B. Mas’oud mengatakan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa berdo’a dengan do’a:
اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى، والتُّقَى، والعَفَافَ، والغِنَى
“Ya Allah, aku meminta kepada-Mu petunjuk, sifat taqwa, sifat ‘afaf, dan al-ghina.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2721)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) mengatakan:
أما العفاف والعفة فهو التنزه عما لايباح والكف عنه والغنى هنا غنى النفس والاستغناء عن الناس وعما فى أيديهم
“‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhi dan menahan diri dari perkara yang tidak dibenarkan. Manakala al-ghina adalah hati yang sentiasa merasa cukup dan tidak meminta-minta (memerlukan) pada apa yang berada di sisi manusia.” (Syarah Shahih Muslim, 17/41)
Akhir kata, sesiapa yang mampu meraih harta yang dengannya dia merasa qona’ah dan syukur, nescaya dia akan menggapai kekayaan dengan hati yang senang. Walaupun tidaklah melimpah-ruah dengan segala bagai kemewahan, tetapi hasil sifat syukur dan qona’ah, pasti hidup menjadi serba cukup dan menenangkan.
Penulis tinggalkan tulisan ini dengan kata-kata indah milik al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
Penulis tinggalkan tulisan ini dengan kata-kata indah milik al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
فمن حصل له ما يكفيه واقتنع به أمن من آفات الغنى وآفات الفقر
“Maka sesiapa yang meraih hasil pendapatan yang dengannya dia merasa cukup, maka terlepaslah dia dari fitnah kekayaan dan penyakit kemiskinan.” (al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari, 11/275)
Wallahu a’lam...
Selasa, Februari 14, 2012
Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Imam asy-Syafi’i...
Pastikan Ambil Hadis Sahih Seperti Imam asy-Syafi'i...
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Apa jua khabar atau hadis yang diatasnamakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak boleh sewenang-wenangnya diterima tanpa terlebih dahulu dipastikan status kesahihan atau kebenarannya. Ini bagi mengelakkan menyandarkan sesuatu kepada Nabi dengan cara prasangka, dusta, atau bohong yang mana telah kita ketahui setiap apa yang datang dari Nabi itu memberi nilai agama sama ada dari aspek aqidah, tauhid, hukum-hakam, akhlak, mu’amalah, dan sebagainya.
Dari itu, siapapun tidak boleh sesuka hati mengatakan sesuatu atas nama Nabi tanpa melalui cara yang benar.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengingatkan:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 5/37, no. 1209)
Oleh sebab itulah para ulama hadis telah menyusun sebuah kaedah khusus bagi memastikan kesahihan khabar yang disandarkan kepada Nabi. Iaitu dengan meneliti sanad dan barisan para perawi hadis. Setelah keabsahannya dikenalpasti, maka barulah ia layak dijadikan sebagai hujjah dan pegangan dalam agama bersesuaian dengan kaedah-kaedah lainnya.
Imam ‘Abdullah B. al-Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata:
الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّينِ، وَلَوْلَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ
“Isnad adalah sebahagian dari agama. Jika tidak ada isnad, maka sesiapa saja akan berbicara sesuka hatinya.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)
Seorang tabi’in, Sa’ad B. Ibrahim berkata:
لَا يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الثِّقَاتُ
“Tidak ada yang berhak mengkhabarkan sebuah hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan orang-orang yang tsiqah.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/15)
Kata Muhammad B. Sirin rahimahullah (Wafat: 110H):
سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ، فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ، وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ
“Mereka (ahlus sunnah) sebelum itu tidak bertanya tentang sanad, tetapi ketika terjadi fitnah, mereka pun berkata, “Sebutkanlah kepada kami nama para perawimu.” Apabila dilihat yang menyampaikannya adalah ahlus sunnah maka hadisnya diterima, tetapi bila yang menyampaikannya adalah ahli bid’ah maka hadisnya ditolak.” (Mukaddimah Shahih Muslim, 1/15)
Kriteria Hadis Sahih
Seseorang Bertanya kepada imam asy-Syafi’i, “Sebutkan kepadaku syarat minima agar suatu perkhabaran hadis itu boleh diterima sebagai hujjah.” Maka beliau pun menjawab, “Perkhabaran yang disampaikan dari satu orang dari satu orang sehingga sampai kepada Nabi atau kepada perawi yang berada di bawah Nabi (para sahabat).”
Beliau menyambung, “Perkhabaran hadis dari satu orang kepada satu orang tidak dapat diterima sebagai hujjah sehingga memenuhi beberapa syarat yang di antaranya:
“Orang yang meriwayatkan mesti tsiqah (terpercaya) dalam agamanya. Dikenal sebagai orang yang benar lagi jujur dalam berbicara, memahami apa yang ia riwayatkan (atau khabarkan), memahami lafaz yang boleh mengubah makna-makna hadis, dan mampu menyampaikan hadis bertepatan dengan huruf-hurufnya persis sebagaimana yang ia dengar dan bukan menyampaikan sekadar dengan maknanya atau sekadar dari kefahamannya sahaja.
Orang yang meriwayatkannya perlu hafal apa yang ia riwayatkan jika dia meriwayatkannya dari hafalan, atau mencatatnya dengan tepat jika dia meriwayatkan berdasarkan catatannya (atau kitabnya). Apabila dia menghafal suatu hadis bersama-sama dengan para huffaz (penghafal hadis) yang lain, maka apa yang ia riwayatkan perlu selari dengan apa yang diriwayatkan oleh para huffaz lainnya tersebut.
Orang yang meriwayatkannya tidak boleh seorang yang mudallis dengan meriwayatkan suatu riwayat (hadis) dari seseorang yang ditemuinya tetapi tidak pernah mendengar riwayat dimaksudkan secara langsung darinya. Atau apabila ia meriwayatkan suatu hadis dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, ia tidak boleh menyelisihi apa yang diriwayatkan oleh para perawi tsiqah yang lainnya dari Nabi.
Inilah keriteria yang perlu dimiliki bermula dari perawi terendah (paling bawah) sehingga paling atas yang sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang diriwayatkan secara maushul (bersambung). Iaitu setiap perawi mengakui orang yang menyampaikan kepadanya dan orang yang menyampaikan juga mengakuinya. Tidak seorang pun perawi yang boleh mengelak dari ketentuan ini.” (asy-Syafi’i, ar-Risalah, m/s. 369-372 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah, Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir)
Kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh imam asy-Syafi’i inilah yang diterima pakai oleh para ulama hadis dahulu dan kini dalam menetapkan boleh atau tidaknya sesebuah hadis diterima pakai. Di mana sanadnya mesti muttashil (bersambung dan tidak putus), para perawinya ‘adil, perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya), selamat dari syuyudz (riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat para perawi yang lebih tsiqah darinya), dan selamat dari ‘illat atau kecacatan-kecacatan hadis lainnya. Inilah di antara asas utama bagi memastikan kedudukan sesebuah hadis sama ada sahih, hasan, dha’if (lemah), maudhu’ (palsu), atau selainnya.
Ini sekaligus menunjukkan ketelitian dan kedalaman ilmu yang dimiliki oleh imam asy-Syafi’i dalam bidang hadis. Syaikh Ahmad Syakir rahimahullah mengatakan, “Siapa sahaja yang memahami ucapan imam asy-Syafi’i rahimahullah pada bab ini, pasti dia akan mendapati bahawa imam asy-Syafi’i telah menyusun (atau merangkumkan) sebuah kaedah yang sahih tentang ilmu hadis. Dan bahawasanya beliaulah orang pertama sekali menjelaskan ilmu ini dengan begitu terang. Beliau adalah pembela hadis yang paling unggul serta orang yang lantang menekankan kewajiban mengamalkan sunnah.
Beliau turut mengeluarkan hujjah bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah gelaran yang diberikan oleh pendudukan Makkah kepada imam asy-Syafi’i sebagai Naashirus Sunnah (pembela Sunnah), semoga Allah meredhainya.” (Tahqiq Syaikh Ahmad Syakir, ar-Risalah, m/s. 369)
Inilah di antara prinsip imam asy-Syafi’i rahimahullah bahkan prinsip para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah dari dahulu hingga kini dalam mengambil dan menerima hadis sebagai hujjah agama. Mereka terlebih dahulu memastikan keabsahan dan kesahihan sesebuah hadis sebelum mengamalkan dan menyebarkannya. Mereka tidak mengambilnya dari sebarangan orang begitu sahaja.
Alhamdulillah pada hari ini, fasa periwayatan dan pembukuan hadis telah pun tamat lengkap dengan sanad-sanadnya sekaligus memudahkan para ulama dan masyarakat terkemudian menyemak serta memanfaatkannya. Cuma setiap hadis tersebut masih perlu dinilai sahih atau tidaknya. Dan ini masih sangat memerlukan perincian dan bantuan dari para ulama hadis sama ada dahulu atau kini. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memetik hadis begitu sahaja tanpa dipastikan terlebih dahulu keabsahan atau status kesahihannya berpandukan kaedah yang benar. Setiap hadis perlu diambil dari kitab dan sumbernya.
Selamilah pengorbanan para ulama terdahulu yang sanggup keluar bermusafir ribuan batu demi sebuah hadis yang mulia. Hadis-hadis diriwayatkan lalu dibukukan dengan cara terhormat lagi dimuliakan. Dipilih dengan kaedah yang penuh teliti lagi hati-hati.
Maka sepatutnya kita pada hari ini memanfaatkan hasil pengorbanan mereka dengan tidak sewenang-wenangnya memetik hadis hanya dari surat-surat khabar, internet, cakap-cakap orang, dan pelbagai sumber lainnya tanpa terlebih dahulu memastikan keabsahannya.
Para ulama ahlus sunnah wal-jama’ah terkenal amat berhati-hati dalam memilih dan mengambil hadis. Ini dalam rangka mengelak dari tersalah ambil hadis-hadis yang lemah, maudhu’, atau tidak sahih lalu mengatakannya ini adalah hadis sahih daripada Nabi?! Inilah juga di antara prinsip yang dipegang teguh oleh imam asy-Syafi’i rahimahullah sebagaimana dikatakan imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
تمسكه بالاحاديث الصحيحة: واعراضه عن الاخبار الواهية الضعيفة: ولا نعلم أحدا من الفقهاء أعتنى في الاحتجاج بالتمييز بين الصحيح والضعيف كاعتنائه
“Beliau (Imam asy-Syafi’i rahimahullah) amat berpegang teguh dengan hadis-hadis sahih dan menjauhi hadis-hadis yang lemah lagi dha’if. Kami tidak mengetahui ada seorang pun dari kalangan fuqaha’ yang begitu berhati-hati ketika berhujjah dengan membezakan di antara hadis sahih dan dha’if sebagaimana yang dilakukan oleh beliau (asy-Syafi’i)...” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/11)
Tapi sayangnya, prinsip ini banyak diabaikan oleh pengamal mazhab asy-Syafi’i sendiri di Nusantara ini. Sebahagian mereka tidak lagi membezakan di antara hadis yang sahih atau tidak. Banyak berlaku di mana hadis-hadis yang tidak sahih dipegang dan disebarkan sebagaimana hadis sahih. Sehingga apabila didatangkan hadis-hadis yang sahih yang bertentangan dengan apa yang mereka imani atau amalkan, mereka tidak lagi mahu menerimanya.
Ini amat bertentangan dengan perkataan dan prinsip imam asy-Syafi’i sendiri di mana beliau mengatakan:
كُلّ َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي
“Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi, Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)
Juga kata beliau:
إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي
“Apabila sahih suatu hadis, maka itulah mazhabku.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/92)
Pernahkah kita mendengar hadis-hadis yang boleh dianggap populer seperti tentang mendapat ganjaran pahala 70 kali ganda jika memakai serban ketika solat, perselisihan di kalangan umat Muhammad adalah rahmat, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, Yasin jantung hati al-Qur’an, sesiapa yang mengenal diri maka dia mengenal Allah, bermadu bagi isteri akan mendapat payung emas di Syurga, galakkan membaca surah Yasin untuk orang mati, kisah sahabat Nabi Tsa’labah yang bakhil, nyanyian thola’al badru ‘alaina ketika menyambut Nabi tiba di Madinah, kisah ‘Abdurrahman B. ‘Auf masuk Syurga sambil merangkak, serta pelbagai lagi khabar-khabar hadis populer yang disandarkan atas nama agama dan nama Rasulullah yang mana hakikatnya ia bukanlah hadis-hadis yang sahih dan boleh dibuat hujah mahupun pegangan dalam agama.
Dukacitanya ia berlegar di sekeliling kita, disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz dan ustazah, serta diimani kebanyakan orang. Oleh itu, pastikanlah setiap hadis yang kita terima dan amalkan adalah hadis-hadis yang sahih terlebih dahulu. Takut-takutlah kita dengan ancaman berdusta atas nama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Wallahu a’lam.
Imam asy-Syafi’i Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah
Imam asy-Syafi'i Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah
Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://an-nawawi.blogspot.com

Kita selaku umat Islam di wilayah nusantara ini secara umumnya mengaku mengamalkan ajaran Islam berpandukan mazhab imam asy-Syafi’i rahimahullah. Iaitu mazhab yang berpaksi dari kerangka ushul yang digariskan imam asy-Syafi’i rahimahullah bersama-sama para pengikutnya. Mazhab asy-Syafi’i adalah salah satu cabang mazhab aliran ahli sunnah wal-jama’ah yang sah lagi autentik.
Dari itu, ada baiknya kita semak seketika prinsip-prinsip penting, pegangan, dan pesan-pesan al-Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) dalam mengambil agama ini. Sekaligus dapat kita manfaatkan secara bersama bagi tujuan memahami agama ini dengan lebih baik berdasarkan bimbingan imam yang agung, imam asy-Syafi’i.
Bermazhab Dengan Sunnah Rasulullah
Imam asy-Syafi’i rahimahullah disebutkan oleh para ulama lainnya sebagai di antara orang yang paling kuat berpegang dengan sunnah. Bahkan dikatakan oleh imam Ahmad B. Hanbal sebagai “Nashiirus Sunnah” (pembela sunnah). Imam Ahmad rahimahullah (Wafat: 241H) juga mengatakan:
“Di antara sikap terpuji imam asy-Syafi’i adalah apabila beliau mendengar sebuah hadis (yang sahih) yang belum pernah beliau dengar, maka beliau akan mengambil hadis tersebut dan meninggalkan pendapatnya (yang bertentangan).” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/476 – Maktabah Daar at-Turaats)
Kata beliau lagi, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikuti sunnah berbanding imam asy-Syafi’i rahimahullah.” (Manaaqib asy-Syafi’i, 1/471)
Imam asy-Syafi’i rahimahullah sendiri pernah berpesan dengan katanya, “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua yang aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu perkara (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
Kata imam asy-Syafi’i lagi:
أجمع الناس على أن من استبانت له سنة عن رسول الله لم يكن له أن يدعها لقول أحد من الناس
“Kaum muslimin bersepakat bahawa mereka yang mengetahui dengan jelas suatu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam maka tidak halal baginya meninggalkan sunnah tersebut semata-mata untuk mengikuti pendapat seseorang yang lain.” (Ibnu al-Qayyim, I’lam al-Muwaqq’in, 2/282)
Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) turut mengutarakan pesan-pesan imam asy-Syafi’i yang semakna dengannya, antaranya:
Imam asy-Syafi’i berkata:
إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ودعوا قولى
“Apabila kamu mendapati dalam kitabku sesuatu yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ambillah sunnah Rasulullah tersebut dan tinggalkanlah perkataanku.”
Kemudian imam an-Nawawi mengeluarkan contoh sikap para ulama dari kalangan ulama mazhab asy-Syafi’i seperti al-Buwaithi, Abu al-Qasim ad-Dariqi, Abu Bakar al-Baihaqi, dan selainnya ketika berhadapan dengan pendapat dalam mazhab asy-Syafi’i yang bertentangan dengan suatu hadis, maka mereka akan mengamalkan hadis dan meninggalkan pendapat mazhab asy-Syafi’i yang bertentangan dengan hadis tersebut. Imam an-Nawawi kemudian menjelaskan:
وكان جماعة من متقدمي أصحابنا إذا رأوا مسألة فيها حديث ومذهب الشافعي خلافه عملوا بالحديث وافتوا به قائلين مذهب الشافعي ما وافق الحديث
“Sebahagian sahabat kami yang terdahulu ketika melihat suatu permasalahan yang di dalamnya terdapat hadis sedangkan ia bertentangan dengan pendapat dalam mazhab asy-Syafi’i, maka mereka pun mengamalkan hadis tersebut (dengan meninggalkan pendapat mazhab). Mereka memberikan fatwa berdasarkan hadis tersebut sambil berkata, “Mazhab asy-Syafi’i bersesuaian dengan hadis tersebut.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/63-64)
Inilah contoh sikap yang mulia yang bersesuaian dengan pesanan imam asy-Syafi’i sendiri agar mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berbanding pendapat sendiri dan pendapat-pendapat manusia lainnya bersesuaian dengan kadar ilmu yang dikuasai. Perkara ini juga turut dipertegaskan lagi oleh para ulama dan imam-imam lainnya.
Antaranya sebagaimana kata al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):
فالواجب على كل من بلغه أمر الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وعرفه؛ أن يبينه للأمة، وينصح لهم، ويأمرهم باتباع أمره، وإن خالف ذلك رأي عظيم من الأمة؛ فإن أمر رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أحق أن يُعَظَّم ويُقتدى به من رأي أي مُعَظَّم قد خالف أمره في بعض الأشياء خطأً ، ومن هنا رد الصحابة ومن بعدهم على كل مخالف سنة صحيحة، وربما أغلظوا في الرد، لا بغضاً له؛ بل هو محبوب عندهم مُعَظَّم في نفوسهم، لكن رسول الله أحب إليهم، وأمره فوق أمر كل مخلوق، فإذا تعارض أمر الرسول وأمر غيره؛ فأمر الرسول أولى أن يقدم ويتبع، ولا يمنع من ذلك تعظيم من خالف أمره، وإن كان مغفوراً له، بل ذلك المُخَالَف المغفور له لا يكره أن يخالف أمره؛ إذا ظهر أمر الرسول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بخلافه
“Kewajiban bagi mereka yang menerima dan mengetahui perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah dengan menyampaikan kepada masyarakat, menasihati mereka, dan mengajak mereka untuk mengikutinya walaupun ia bertentangan dengan pendapat orang ramai. Perintah Rasulullah lebih berhak untuk dimuliakan dan diikuti berbanding pendapat mana-mana tokoh sekalipun yang menyalahi perintahnya yang terkadang pendapat mereka itu terdedah kepada kesalahan.
Oleh kerana itulah para sahabat dan para tabi’in selalu menolak pendapat yang menyalahi hadis yang sahih dengan penolakan yang tegas yang mereka lakukan bukan kerana kebencian sebaliknya adalah kerana rasa hormat mereka terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jauh lebih tinggi mengatasi kedudukan manusia-manusia lainnya dan kedudukan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam jauh di atas makhluk lainnya.
Apabila perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ternyata bertentangan dengan perintah yang lain, perintah beliau adalah lebih utama didahulukan dan diikuti sekalipun orang tersebut mendapat ampunan dari Allah. Bahkan orang yang mendapat pengampunan dari Allah tersebut apabila ia tahu pendapatnya menyalahi perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ia pun tidak merasa benci apabila seseorang meninggalkan pendapatnya yang berlawanan dengan ketentuan Rasulullah tersebut.” (Dinukil dari Ashlu Shifati Sholaatin Nabiy karya al-Albani, 1/33-34)
Berkaitan dengan ini, Salim B. ‘Abdullah B. ‘Umar pernah menceritakan bahwa beliau telah mendengar seorang lelaki dari Syam datang bertanya kepada ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhu tentang umrah dalam haji tamattu’. ‘Abdullah B. ‘Umar menjawab:
هِيَ حَلَالٌ
“ia halal (dibolehkan).”
Orang Syam tersebut berkata:
إِنَّ أَبَاكَ قَدْ نَهَى عَنْهَا
“Tetapi bukankah ayahmu (‘Umar al-Khaththab) telah melarangnya?” ‘Abdullah B. ‘Umar bertanya:
أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ أَبِي نَهَى عَنْهَا وَصَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْرَ أَبِي نَتَّبِعُ أَمْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Apa pendapatmu jika ayahku melarangnya sedangkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melakukannya, jadi mana yang akan kamu ikuti? Perintah ayahku atau perintah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?” Lelaki tersebut pun menjawab:
بَلْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَقَدْ صَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Ya, perintah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.” Maka Ibnu ‘Umar berkata, “Sungguh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melakukannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/333, no. 753)
Sesuatu untuk difikirkan adalah apabila pendapat para imam mazhab pun boleh ditinggalkan sekiranya bertentangan dengan sunnah, apatah lagi pendapat-pendapat yang tidak diketahui asal-usulnya yang keluar bukan dari kalangan para imam seperti kisah-kisah dusta atas nama agama dan bid’ah-bid’ah yang berleluasa di Nusantara ini?
Seharusnya kita dalami baik-baik pesan-pesan imam mazhab kita, imam asy-Syafi’i rahimahullah tersebut. Bahkan imam-imam mazhab seluruhnya termasuk Abu Hanifah, Malik, dan Ahmad B. Hanbal juga turut berpesan dengan pesanan yang sama seperti asy-Syafi’i.
Mereka semua mewajibkan para pengikutnya supaya meninggalkan pendapat-pendapat mereka apabila pendapat tersebut bertentangan dengan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bahkan imam asy-Syafi’i meninggalkan pesan supaya mengatasnamakan dirinya bagi setiap hadis yang sahih sebagai termasuk dalam pendapat atau mazhabnya walaupun beliau tidak menemui mahupun meriwayatkannya. Manakala pendapatnya yang bertentangan dengan sunnah, beliau minta agar ditinggalkan.
Kata beliau:
إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي
“Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah pendapatku (mazhabku).”
Oleh sebab itulah Imam Ibnu Daqiq al-‘Ied rahimahullah ada menyusun sebuah kitab besar yang menghimpunkan pelbagai hadis yang dikategorikan sebagai hadis-hadis yang bertentangan dengan pendapat-pendapat para imam mazhab, lalu pada mukaddimahnya beliau mengatakan:
“Menyandarkan nama para imam mujtahid dengan pelbagai masalah yang bertentangan dengan hadis sahih adalah haram!”
Ini bersesuaian dengan pesan-pesan wasiat yang ditinggalkan oleh para imam itu sendiri antaranya imam asy-Syafi’i dengan katanya:
“Apabila sahih sesuatu hadis, maka itulah pendapatku (mazhabku).” Yang membawa maksud setiap pendapat yang bertentangan dengan hadis bukanlah termasuk pendapat beliau walaupun beliau mengucapkannya. Ini juga sebagaimana kata beliau:
“Apabila ada uapanku atau ushul (kaedah) yang aku susun bertentangan dengan apa yang datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka ambillah ucapan yang datang dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan itu menjadi ucapanku.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/475)
Pesan-pesan imam asy-Syafi’i yang seumpama ini begitu banyak diriwayatkan dan disebutkan dalam lembaran-lembaran kitab para ulama. Ini menunjukkan betapa tegasnya prinsip dan pegangan imam asy-Syafi’i terhadap hadis-hadis Nabi sekaligus dalam mengajak masyarakat untuk berpegang dan bermazhab dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bahkan turut dinukil yang mana beliau mengatakan:
“Sekiranya aku meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lalu aku tidak mengambilnya, maka nyatakanlah bahawa akalku telah rosak.” (al-Baihaqi, Manaaqib asy-Syafi’i, 1/474)
Di tempat yang lain turut diriwayatkan bahawa beliau telah berkata:
كُلّ َمَا قُلْتُ وَكَانَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِلَافُ قُولِي مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْلَى، وَلَا تُقَلِّدُونِي
“Setiap perkataanku yang berbeza dengan riwayat yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka hadis Nabi lebih aula (perlu didahulukan) dan kamu semua jangan bertaklid kepadaku.” (al-Baihaqi, Ma’rifah as-Sunan wal Atsar, 2/454)
Demikianlah begitu tegasnya beliau dalam berpegang dengan hadis-hadis yang diterimanya. Ini sepatutnya menjadi contoh dan motivasi buat kita semua dalam mempelajari, mengamalkan, dan mendakwahkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang mulia.
Prinsip-prinsip dan wasiat-wasiat yang ditinggalkan oleh imam asy-Syafi’i ini amat bertepatan dengan begitu banyak dalil-dalil al-Qur’an mahupun as-Sunnah. Antaranya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
فَلا وَرَبِّكَ لا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Demi Tuhamu, mereka tidak dikatakan beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam menyelesaikan perselisihan di antara mereka. Kemudian mereka tidak merasa berat dengan keputusan yang engkau tetapkan dan mereka menerimanya dengan penuh ketulusan.” (Surah an-Nisaa’, 4: 65)
Ayat ini begitu jelas menerangkan apabila berlaku perselisihan (khilaf) di antara kita, maka hendaklah ia dikembalikan kepada al-Qur’an dan as-Sunnah. Bukan dikembalikan kepada mazhab si fulan atau imam fulan mahupun ustaz fulan. Wallahu a’lam.
Langgan:
Catatan (Atom)









